Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, December 22, 2011

Pelancaran Mata Wang Baharu Malaysia

Gambar Sumber : Utusan Malaysia

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelancaran mata wang siri baharu Malaysia. Mata wang siri baharu ini dilancarkan hari ini ( 21 Disember 2011 ) oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Mata wang siri baharu ini terdiri daripada wang kertas dan duit syiling baharu dengan reka bentuk yang baharu. Wang kertas yang dikeluarkan adalah dalam denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 dan akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012. Wang kertas denominasi RM50 dalam siri baharu ini telah pun berada dalam edaran. Bagi siri baharu ini, substrat polimer digunakan untuk wang kertas RM1 dan RM5.

Duit syiling siri baharu adalah dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen dan telah pun dilancarkan pada 25 Julai 2011. Duit syiling siri baharu ini akan berada dalam edaran pada bulan Januari 2012.


Wang kertas siri baharu Malaysia ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik negara dan memasukkan elemen kekayaan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri wang kertas ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, serta ekonomi.

Wang kertas siri baharu ini turut mengandungi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat sejajar dengan kemajuan terkini dalam teknologi wang kertas. Ciri-ciri keselamatan wang kertas siri baharu ini termasuklah imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya. Ciri keselamatan lain ialah pengenalpastian secara sentuhan untuk memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan.

Bank Negara Malaysia juga mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan pengeluaran mata wang siri baharu ini. Tiga jenis set wang kertas peringatan yang akan dijual adalah seperti yang berikut:
  • Set 2 dalam 1 (denominasi RM1 dan RM5) - 500,000 set yang berharga RM15.00 setiap satu.

  • Set Individu (denominasi RM20) - 500,000 set yang berharga RM30.00 setiap satu.

  • Set Premium (denominasi RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) - 50,000 set yang berharga RM300.00 setiap satu. Bagi setiap set ini, semua denominasi wang kertas akan mempunyai nombor siri yang sama.


    Reka Bentuk Wang Kertas

    • Bahagian Hadapan Wang Kertas
    Semua denominasi wang kertas siri baharu ini mengekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga rayaRosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan), nilai muka pada wang kertas, perkataan 'Bank Negara Malaysia' sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan wang kertas dan corak tenunan tradisional iaitu songket sebagai latar belakang dan pada hujung wang kertas bagi menggambarkan tradisi kraf tangan dan tenunan di Malaysia. Ciri-ciri lain termasuklah pengenalpastian secara sentuhan bagi mereka yang kurang upaya penglihatan, dan potret tera air dengan piksel dan angka.
    • Bahagian Belakang Wang Kertas
    Bahagian belakang setiap wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi, yang khusus bagi Malaysia. Wang kertas baharu ini juga mengekalkan logo Bank Negara Malaysia, nombor siri, tulisan Jawi dan corak tenunan songket pada bahagian belakang wang kertas.
    • Motif untuk setiap denominasi adalah seperti yang berikut:
DenominasiIkon
RM100Gunung Kinabalu dan pembentukan batu mercu batu kapur di lembah Gunung Api
RM50Kelapa Sawit dan Bioteknologi
RM20Penyu Karah dan Penyu Belimbing
RM10Rafflesia
RM5Burung Enggang Badak
RM1Wau Bulan


Wang kertas baharu siri keempat ini adalah sah diperlakukan dan akan berada dalam edaran bersama-sama dengan wang kertas siri yang sedia ada. Siri yang sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.

Bank Negara Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, entiti perniagaan dan vendor yang mengendalikan mesin wang tunai untuk memastikan peralihan yang lancar kepada mata wang siri baharu ini. Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengubah suai mesin mereka bagi memastikan wang kertas siri baharu ini mudah digunakan.

Lokasi Jualan

Wang kertas peringatan ini akan mula dijual pada 22 Disember 2011 di Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan cawangan-cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Lampiran 1

Spesifikasi Wang Kertas Baharu Siri Keempat
  • Denominasi
    Bahan Asas
    Dimensi
    Warna
    RM100
    Kertas
    150mm X 69mm
    Ungu
    RM50
    Kertas
    145mm X 69mm
    Hijau-biru
    RM20
    Kertas
    145mm X 65mm
    Jingga
    RM10
    Kertas
    140mm X 65mm
    Merah
    RM5
    Polimer
    135mm X 65mm
    Hijau
    RM1
    Polimer
    120mm X 65mm
    Biru


Sumber : Bank Negara Malaysia


Untuk Khusus Tentang Mata Wang Kertas & Syiling Baharu Malaysia Klik Link Di Bawah ->

Keunikan Mata Wang Syiling Baharu 
Spesifikasi Syiling Baharu 50 Sen
Spesifikasi Syiling Baharu 20 Sen
Spesifikasi Syiling Baharu 10 Sen
Spesifikasi Syiling Baharu 5 Sen

Berikut Adalah Gambaran Mata Wang Syiling Malaysia Yang Baharu :

Pandangan Hadapan & Belakang
Untuk Khusus Tentang Mata Wang Kertas Baharu Malaysia Klik Link Di Bawah ->


Berikut Adalah Gambaran Wang Kertas Malaysia Yang Baharu :

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 100

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 50

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 20

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 10

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 5

Pandangan Hadapan & Belakang Note RM 1

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...