KALAU betul semua acara antarabangsa yang dianjurkan di negara akan dikendali dalam bahasa Melayu, maka ia merupakan satu usaha yang mampu memartabatkan bahasa Kebangsaan itu. Kalau kita sedar, bahasa Melayu sudah lama terpinggir di bumi sendiri. Walaupun diangkat sebagai bahasa kebangsaan tetapi ia bukannya bahasa pertuturan di negara ini. Hanya orang Melayu di luar bandar dan yang berpendapatan rendah dan sederhana sahaja bertutur dalam bahasa Melayu. Rakyat Malaysia yang lain lebih selesa berhubung menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa ibunda kaum masing-masing.
Acara-cara rasmi yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya mungkin sekadar pada Perhimpunan Agung UMNO dan Pas selain sidang Dewan Undangan Negeri serta persidangan Parlimen. Yang lainnya lebih banyak mengutamakan bahasa Inggeris dengan alasan ia bahasa antarabangsa. Oleh itu, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemungkinan acara-acara antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia dikendalikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya merupakan petanda baik untuk menaikkan imej bahasa kebangsaan. Bagi negara-negara lain, penggunaan bahasa kebangsaan pada acara-acara rasmi termasuk yang bertaraf antarabangsa merupakan perkara biasa. Ia bukan sesuatu yang baharu. Contoh yang paling dekat dengan kita ialah Thailand. Dalam apa juga acara yang dianjurkan bahasa kebangsaan sentiasa mereka utamakan.
Sistem pendidikan semuanya menggunakan bahasa dan tulisan Thai. Tetapi ia tidak pernah menghalang ekonomi mereka daripada berkembang. Pemimpin-pemimpinnya juga tidak kekok berucap dalam bahasa kebangsaan termasuk ketika menghadiri acara di luar negara. Malah hampir semua negara di dunia ini menggunakan bahasa kebangsaan mereka dalam apa juga majlis antarabangsa selain diselang-seli dengan bahasa Inggeris. Yang pasti ia tidak menjejaskan perjalanan acara tersebut. Apa juga acara terbesar dunia seperti Sukan Olimpik, Piala Dunia dan sebagainya, semuanya dianjurkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan negara tuan rumah. Sebab itu, cadangan Muhyiddin itu bukan sesuatu yang pelik kerana ia merupakan amalan biasa di negara-negara lain yang bahasa Inggeris bukan bahasa kebangsaan mereka.
Sudah tentu, pelaksanaan itu tidak akan mendatangkan apa-apa masalah. Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya, ia dikendalikan dalam pelbagai bahasa. Para pemimpin yang berucap akan menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing. Peranan juru bahasa yang akan mempermudahkan dan melancarkan perhimpunan PBB pada setiap tahun. Begitu juga jika bahasa Melayu digunakan pada acara-acara bertaraf antarabangsa di negara ini. Peranan juru bahasa akan mengatasi apa juga masalah. Malah ketika Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) peranan juru bahasa tetap diperlukan walaupun acara menggunakan bahasa Inggeris. Tidak semua pemimpin yang hadir itu mahu bertutur dalam bahasa Inggeris.
Jadi, tidak ada bezanya jika acara tersebut dilangsungkan dengan bahasa Melayu. Oleh itu, kita tidak perlu fobia atau gundah gulana apabila bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam acara-acara terbabit. Bagi peminat sukan mereka tentunya biasa menonton secara langsung kejohanan tenis luar negara yang menawarkan hadiah jutaan ringgit. Jika kita perasan, pengadilnya membuat kiraan dalam bahasa kebangsaan negara yang menjadi tuan rumah sebelum diulangi dalam bahasa Inggeris. Tetapi di negara kita, kiraan dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
Tetapi saranan Muhyiddin itu sekurang-kurangnya dilihat sebagai usaha yang dapat mengangkat martabat bahasa Melayu. Penutur bahasa ini bukannya kecil. Separuh daripada penduduk di rantau ASEAN bertutur atau memahami bahasa Melayu. Ia adalah bahasa serantau sama seperti beberapa bahasa utama lain dunia. Sudah sampai ketikanya ia diangkat dan digunakan pada acara-acara bertaraf dunia yang dianjurkan di negara ini.
No comments:
Post a Comment