Pada hari ini dalam tahun 1898, selepas memerintah Negeri Selangor selama lebih kurang 39 tahun, Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang berusia lebih kurang 93 tahun telah mangkat pada jam 10.45 pagi di Istana Jugra. Jenazah Almarhum Sultan Selangor yang ke-IV ini telah dimakamkan di Bukit Jugra, Kuala Langat. Sultan Abdul Samad menaiki takhta kerajaan Negeri Selangor selepas kemangkatan ayah saudara dan mertuanya iaitu Sultan Muhammad, Sultan Selangor yang ke-III pada tahun 1857.
Sebelum itu baginda adalah Tengku Panglima Raja dan berkuasa di Daerah Langat. Perlantikan baginda sebagai Sultan adalah hasil dari desakan Raja Jumaat dari Lukut yang mendapat persetujuan dari 4 orang pembesar negeri yang lain. Raja Muda Mahmud, Putera gahara almarhum Sultan Muhammad pada masa itu adalah terlalu muda usianya untuk dijadikan Sultan. Zaman pemerintahan Baginda merupakan zaman pergolakan politik Negeri Selangor di mana telah berlakunya saudara merebut takhta kerajaan dan kawasan. Baginda telah melantik menantunya Tengku Dhiauddin atau dikenali sebagai Tengku Kudin menjadi 'Wakil Mutlaknya' memerintah Negeri Selangor. Kuasa Tengku Dhiauddin ini tidak diakui oleh pembesar-pembesar negeri terutama Raja Mahadi yang menganggapnya sebagai orang dagang. Dalam masa pemerintahannya juga, negeri Selangor yang kaya dengan hasil buminya telah menarik orang-orang Cina untuk membuka lombong bijih, bersama-sama dengan orang Melayu. Perusahaan bijih ini telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pemiagaan peperangan yang penting.
Pada zaman itu juga, Kerajaan Inggeris telah campurtangan di dalam perkara siasah Negeri Selangor dan telah meletakkan seorang Residen British iaitu J.G. Davidson di negeri itu.Kemangkatan Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1898, telah digantikan oleh cucundanya Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa sebagai Sultan Selangor ke-V dengan gelaran Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Jenazah baginda telah dimakamkan selepas upacara perisytiharan Sultan Selangor yang baru.
Sumber :- Arkib Negara Malaysia
No comments:
Post a Comment