Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, April 13, 2012

Entri Sempena Istiadat Pertabalan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Bahagia 5 : Potret Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Ke-14

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Pembaca Semua......

Seperti yang semua tahu pada hari Rabu lepas telah berlangsungnya Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur yang mana ia telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 buat kali kedua selepas 42 tahun baginda menjawat jawatan tersebut pada kali pertama sewaktu menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-5 dari tahun 1970-1975 dan buat julung kalinya istiadat kali ini  telah di adakan di Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Ok, entri kali ni sebenarnya amiey nak kongsikan pada semua berkenaan dengan Potret Rasmi Seri Paduka Baginda Berdua dan Gelaran Rasmi Baginda.

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XIV
ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

 D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K.,D.K.(Kelantan)., D.K.(Pahang)., D.K.(Selangor)., D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Johor)., D.K.(Terengganu)., D.K.(Perak)., D.K.(Brunei)., D.P.(Sarawak)., D.U.N.M, S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon Of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adipradana (Indonesia)., Order of the Rammata Thailand,
Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso.Knight Order of St.John, Hon. Ph.D (UUM) 

SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG 
TUANKU HAJAH HAMINAH

D.M.N., D.K., D.K.H. 

DAULAT TUANKU
DIRGAHAYU TUANKU
SEMOGA QARAR DIATAS TAKHTA

Entri Sempena Istiadat Pertabalan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Bahagia 4 : Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Selamat Ditabal Yang Di-Pertuan Agong Ke-14




Kelihatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sedang Mengucup Keris Kerajaan Semasa Istiadat Pertabalan Baginda Sambil Diperhatikan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong


KUALA LUMPUR 11 April – Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu " Perang bergema " di Balairong Seri dan para hadirin berdiri dan melaungkan " Daulat Tuanku " sebanyak tiga kali, diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu " Negaraku "  dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.

Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu “ Belayar ” oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.
Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu “ Palu ”.

Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka. Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat " Perang " dimainkan, diikuti laungan " Daulat Tuanku "sebanyak 3 kali oleh pemanku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin didalam Balairong Seri serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu " Negaraku " dimainkan.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi mengadap sebagai wakil kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas Pertabalan Baginda diikuti dengan Titah Diraja dari Tuanku Abdul Halim. Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd. Aziz Che Yaacob kemudiannya membacakan doa selamat.

Selepas itu Pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 selamat disempurnakan. Seterusnya Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu " Belayar " mengiringi Seri Paduka Baginda  berdua meninggalkan istiadat dengan didahului Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela  dan Datuk Pengelola Bijaya  Diraja  dan panglima-panglima yang membawa alat kebesaran diraja.

Sumber :- Utusan Malaysia & Bernama 

Wednesday, April 11, 2012

Entri Sempena Istiadat Pertabalan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Bahagia 3 : Menjunjung Kasih Yang Di-Pertuan Agong Ke-14


Ini Adalah Potret Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong


HARI ini, 11 April 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘azam Shah, yang naik takhta menggantikan Tuanku Mizan dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di Pertuan Agong ke-14. Ini adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia.

Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: “Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan …”
Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini. 

Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa “Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.” Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Ke-4, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (SPBYDA).

Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai SPBYDA bagi kali kedua. Baginda menduduki takhta SPBYDA ke-5 bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri pertama dan kedua. Tuanku Abdul Halim adalah kemenakan kepada Tunku. 

Dalam konteks sejarah juga, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah: Perdana Menteri dalam tempoh Pemerintahan Baginda ialah Tun Abdul Razak. Kini anakandanya, Dato’ Sri Najib pula sebagai perdana menteri. Baginda juga adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru. Pada majlis gilang gemilang 11 April, SPBYDA yang ke-14 akan menjalani semua acara tradisional di-Raja pada sebelah pagi hingga malam apabila jamuan Pertabalan di-Raja berlangsung.

LUNAS SEJARAH

Sebagai lunas perbandingan sejarah, jawatan Kepala Utama Negara seperti yang terdapat pada Perkara 32(1) pada mulanya dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid sebagai Yang di-Pertuan Besar – sesuatu yang mencerminkan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Pertama Malaysia susulan pengamatan beliau setelah meneliti sistem Raja bergiliran di Negeri Sembilan.
Sebagaimana dimaklum, di Negeri Sembilan para Undang Yang Empat sebagai “Rulers” atau Pembesar-pembesar Memerintah tempatan memilih seorang Raja bagi negeri itu mengikut peraturan adat di Negeri Sembilan. Apabila semua pihak yang mewakili Raja-Raja Melayu, UMNO dan Perikatan serta pandangan pelbagai pihak, panggilan Yang di-Pertuan Besar diganti dengan Yang di-Pertuan Agong atas alasan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dengan Raja yang memerintah di negeri beradat itu.

Dari sudut sejarah juga jelas bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah lahiran Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan kemudiannya disambung oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963). SPBYDA adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy yakni Raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Dari sudut kuasa legislatif pula SPBYDA adalah salah satu daripada 3 komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan SPBYDA). Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa SPBYDA sebagai salah satu komponennya. Sebab itu Baginda wajib menandatangani semua Rang Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan.

SPBYDA perlu dianggap sebagai mercu perlambangan ketua negara yang paling tinggi lagi utama. SPBYDA sebagai Kepala Utama Negara (Paramount Ruler) merupakan mercu kedaulatan Malaysia.
Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap SPBYDA. Benar, Baginda adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam, tetapi dari sudut kenegaraan Baginda adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya. 

Larasan yang paling mudah ialah Ratu (Queen) Elizabeth di United Kingdom yang melambangkan pihak di-Raja bagi semua rakyat Britain yang sebahagian besar kini mewakili pelbagai kaum dan etnik. Cuma Ratu Elizabeth tidak digilirkan kedudukan di-Rajanya lantaran pemerintahan beraja secara Anglo-Saxon menjangkau 400 tahun lampau manakala di-Raja Scotland dan England bersatu pada tahun 1603.

Selepas 11 April nanti gambar rasmi SPBYDA dan SPB Permaisuri Agong seperti yang tertera pada rencana ini akan dipaparkan di semua pejabat rasmi Kerajaan di setiap negeri. Begitu juga halnya di semua 104 kedutaan Malaysia di seberang laut. 

RAJA BERPELEMBAGAAN

Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling sesuai bagi negara ini. Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayulah yang memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi setiap negeri. Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir dengan ketiadaan Raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh pengiktirafan, khasnya di bawah pentadbiran kolonial British. 

Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan ) secara automatik menerima SPBYDA sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat baginya untuk maksud itu.

SPBYDA merupakan Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif, Baginda. Sebenarnya baginda mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan – Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Baginda melantik Perdana Menteri, para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, para hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah mejistret) dan menauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.
Baginda menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan bagi semua kesalahan yang dijatuhkan mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuatkuasa, Baginda juga boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat ISA. 

MAJLIS RAJA-RAJA ( MRR )

Majlis Raja-Raja (MRR) yang merupakan badan tertinggi di-Raja dan yang memilih SPBYDA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan di bawah Perkara 38. Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh diagendakan untuk MRR, kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah berkisar kepada perkara-perkara kedi-Rajaan, pengampunan, reprief dan respit, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam. Biasanya MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam. Pendeknya SPBYDA terlibat dalam banyak hal dan urusan berkaitan jawatan Baginda sebagai Kepala Utama Negara.

PROGRAM

Program-program khas mulai 11 April hingga 21 April tentunya mendapat perhatian rakyat. Walaupun dari segi amalan dan susunannya tidak banyak berbeza daripada amalan perayaan yang dijalankan pada masa lampau lantaran perlu menjejak turutan tradisi, penegasan Jawatankuasa Induk Pertabalan SPBYDA tertumpu kepada tema Raja dan Rakyat Berpisah Tiada. 

Istiadat Pertabalan yang bakal dihadiri semua pihak diraja dan Gabenor negeri-negeri pada 11 April (Rabu) akan diadakan mulai 9 pagi. Ringkasnya, tema ini menegaskan perihal ‘tiada rakyat tiada Raja’ dan hubungan antara kedua-dua entiti itu harus dipelihara dengan cermat lagi berkesan dalam erti kata kepentingan rakyat tidak diabaikan. Sementara itu institusi diraja Berperlembagaan sentiasa dipelihara dan dihormati. Pada 12 April (Khamis) diadakan bacaan Yassin di Masjid Negara dan disusuli dengan khutbah khas pada Jumaat 13 April. 

Dijadualkan juga acara-acara keagamaan lain yang memberi ucap selamat untuk SPBYDA melalui sesi agama masing-masing kaum. Satu pertandingan golf diadakan pada 14 April (Sabtu) di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam mulai 7.40 pagi.

Pameran Raja Kita pada 15 April (Ahad) mulai jam 11 pagi di Istana Negara Lama dijangka menarik minat rakyat. Pameran ini memuatkan pelbagai aspek pemerintahan beraja dan institusi SPBYDA semenjak Merdeka 1957 hinggalah ke hari ini.

Sempena ini kira-kira 50,000 buku kecil Raja Kita akan diedarkan khasnya bagi murid-murid sekolah dan generasi muda untuk mengenal dan menghalusi ilmu pengetahuan darihal institusi diraja khasnya SPBYDA.

SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah akan meraikan sekumpulan besar kanak-kanak di Dewan Serbaguna Istana Negara Baru pada 21 April mulai 9 pagi. 

Pelbagai acara keceriaan kanak-kanak akan berlangsung sekali gus menggagaskan kepentingan kanak-kanak yang dilayani dengan penuh mesra. Program raksaksa Persembahan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada sebelah malam 21 April di Dataran Merdeka adalah kemuncak perayaan pertabalan.
Pada malam itu diketengahkan pelbagai persembahan budaya pelbagai kaum, hiburan muzik serta nyanyian dan acara-acara selingan yang setimpal dengan malam kemuncak kepada perayaan Raja Kita.

KEUNIKAN

Apa yang akan dilangsungkan bagi tempoh 11 hingga 21 April tentunya akan menonjolkan satu keunikan bagi masyarakat yang berpaksikan Komuniti 1Malaysia: kita satu dalam kepelbagaian. Kita satu dalam menentukan matlamat kenegaraan dan kita berani berbeza pendapat untuk melahirkan yang terbaik untuk Malaysia. 

Dalam usaha inilah institusi diraja – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi paksi keutuhannya. Baginda bukan sahaja lambang kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh daulat. 

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku,

Daulat Tuanku

Rakyat dan Raja Berpisah Tiada

( Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaa, DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Pengerusi Pertabalan SPBYDA ke-14 )


Sumber :- Utusan Malaysia
Gambar :- Rais Yatim FB

Entri Sempena Istiadat Pertabalan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Bahagia 2 : Peralatan Kebesaran Main Peranan Pada Pertabalan Agong

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera Pembaca Semua........

Entri kali ni adalah berkaitan dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 yang akan berlangsung di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada esok hari dan ia juga merupakan sambungan dari pada entri yang lepas.....walau pun entri ini adalah bersumberkan dari artikel akhbar tapi bagi amiey ia amat penting sebagai pengetahuan am kepada generasi-generasi muda belia sekarang........mari ikuti entri di bawah.......

Kuala Lumpur, 5 April - Alat-alat Kebesaran Diraja memainkan peranan penting dalam istiadat-istiadat rasmi Raja-Raja Melayu di negara ini. Peralatan-peralatan itu yang melambangkan kedaulatan baginda dan negara telah dicipta dan disesuaikan dengan alat kebesaran yang pernah menjadi warisan kegemilangan Raja-Raja Melayu pada zaman keagungannya dahulu.

Bagaimanapun, sesuai dengan fungsi dan kehormatannya, alat-alat kebesaran berkenaan hanya boleh digunakan pada upacara rasmi sahaja, dan untuk kesekian kalinya, rakyat akan berpeluang menyaksikan penggunaanya pada istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-14 pada 11 April ini ( esok ). Antara Alat-alat Kebesaran itu ialah pakaian istiadat Yang Di-Pertuan Agong termasuklah Muskat, Tengkolok, Pending, Keris Pendek, Gendik, dan Kalung. Muskat adalah pakaian Rasmi Yang Di-Pertuan Agong  yang berasal dari Oman. Pakaian Rasmi ini mula digunakan pada tahun 1960 semasa Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-3 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

:: Info :-> Muskat ini pada asalnya adalah dibentuk dari pakaian asal pegawai-pegawai istana dari Negeri Kedah Darul Aman dan sebahagian Kerabat Diraja Bergelar Negeri Kedah. Pakaian tersebut diubah serba sedikit dengan beberapa penambahan untuk mengelakkan dari sama seperti pegawai istana di negeri Kedah.

Pada kebiasaannya, baju itu dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam dikaki dan tengkolok pada majlis-majlis sempena Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan serta semasa lawatan rasmi baginda ke negeri-negeri seluruh  Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen. Tengkolok yang turut dipakai pada heri pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan " Dendan Tak Sudah " yang berasal dari Negeri Sembilan.

DIPERBUAT DARIPADA EMAS PUTIH

Di Sebelah Hadapan tengkolok itu dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan ditengah-tengah bintang terletak lambang berwarna-warni kerajaan Malaysia.

Pending pula diperbuat daripada daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan permata delima dan ditengah-tengahnya tertera lambang kerajaan Persekutuan ( Malaysia ). Tali Bengkungnya diperbuat daripada  kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan " Hulu Pekaka " dan berupa kepala " Garuda ". Disampir keris ini diterapkan  dengan Lambang Kerajaan Persekutuan. Seperti Keris Panjang, ia hanya dipakai oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Gendik Diraja adalah pakaian ulu ( kepala ) bagi Raja Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, diatas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat dari emas putih. Gendik ini diperbuat khas supaya boleh di ceraikan menjadikannya loket dan kerongsang. Gendik ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong  pada Istiadat-istiadat kebesarn diraja  dan pada waktu Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong.

Kalung Diraja ialah rantai leher yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini juga adalah sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran diraja dan pada waktu Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong. Kalung ini juga boleh dicerai menjadikannya sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

KERIS PANJANG

Peralatan Kebesaran Lain ialah Keris Panjang, Cogan Alam dan Cogan Agama, Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang, Payung Ubur-Ubur Kuning dan Tombak Berambu.

Keris dan Keris Panjang Diraja adalah alat kebesaran Melayu yang sangat dimuliakan dan utama dalam istiadat pertabalan.

Keris panjang juga adalah Keris Kerajaan dan adalah tanda kebesaran dan kekuasaan. keris itu dari hulunya hingga ke sarungnya bersalut dengan emas dan atas sampirnya diterapkan lambang kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas Negeri Tanah Melayu. Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil dari 11 bilah keris dari negeri-negeri. Hulu Keris itu berbentuk " Tapak Kuda " dengan hiasan motif buah jering yang digunakan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada istiadat-istiadat tertentu sahaja.

Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter ( cm ) yang diatasnya terletak satu bulatan yang di puncaknya mengandungi ukiran anak bulan dan bintang daripada emas, manakala pada keliling bulatan itu pula diterapkan lambang 11 Negeri Tanah Melayu daripada emas. Bulatan itu di tanggung oleh empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkatnya  dihiasi dengan motif enam tangkai padi daripada emas.

Cogan Agama adalah sebatang tongkat perak sepanjang 155.04 Sentimeter ( cm ) juga mempunyai  satu bulatan  di bahagian atasnya yang di pencaknya mengandungi ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

ALAT PERANG ZAMAN SILAM

Satu Lagi Peralatan Diraja ialah Cokmar, iaitu dua batang tongkat pendek yang hulunya berbentuk kubah. Ia adalah alat perang zaman silam yang diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter ( cm ).

Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata Meayu Yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran diraja iaitu diambil daripada mata pedang panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan Sundang bersalut dengan perak serta berukir-ukir di hulu dan sarungnya.

Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada istiadat-istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-Ubur Kuning yang diperbuat daripada lain sutera berwarna kuning diraja berpuncank anak bulan dan bintang dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga yang diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung.

Sumber :- Arkib Bernama

Tuesday, April 10, 2012

Entri Sempena Istiadat Pertabalan SPB Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 Bahagia 1 : Keunikan Pemerintahan Beraja Dalam Sistem Demokrasi Malaysia

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Kepada Semua........

Seperti yang kita semua sedia maklum, esok akan berlangsungnya Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-14 yang mana ia  akan melakar sejarahnya tesendiri apabila buat julung kalinya diadakan di Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan bukan itu sahaja, ia juga akan mencipta sejarah dalam pergiliran tampuk Pemerintahan SPB YDPA apabila KDYMM Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yakni Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Kedah Darul Aman yang akan ditabalkan pada esok hari sebagai SPB YDPA buat kali kedua  apabila baginda pernah ditabalkan sebagai SPB YDPA Ke-5 sekitar tahun 1970-1975 dan pada upacara kali ini akan memperlihatkan baginda merupakan satu-satunya raja melayu yang menaiki tahkta sebagai SPB YDPA buat kedua kalinya.

Berikut adalah Artikel tentang Keunikan Pemerintahan Beraja Dalam Sistem Demokrasi Malaysia yang dipetik dari Bernama

Kuala Lumpur, 7 April -Pemerintahan Beraja di Malaysia dikatakan palimg unik berbanding negara lain yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Ini kerana dinegara-negara berkenaan takhtapemerin tahan terus kekal dikuasai waris, tetapi di Malaysia raja yang memegang jawatan sebagai ketua negara atau dikenali sebagai Yang Di-Pertuan Agong bertukar mengikut giliran dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

Sungguhpun negara ini mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berpalimen, pemilihan Yang Di-Pertuan Agong yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 adalah cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang Di-Pertuan Agong orang yang utama di Malaysia, tidak dipilih oleh rakyat tetapi oleh sembilan orang Raja-Raja Melayu berkenaan pada persidangan Majlis Raja-raja bagi memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun.

Apabila genap tempoh itu, Seri Paduka Baginda hendaklah turun dari takhta dan akan diganti oleh seorang raja lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama. dalam sistem pergiliran ini, tahkta pemerintahan adalah
kekal tetapi raja akan bersilih ganti.

Raja-Raja Melayu yang layak memilih dan dipilih menduduki takhta pemerintahan Malaysaia ialah Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.

NEGERI SEMBILAN YANG PERTAMA

Sejak pemilihan Yang Di-Pertuan Agong pertama iaitu Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Malaysia sudah mempunyai  14 orang ketua negara termasuk Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dari kedah yang akan ditabalkan pada 11 April ini ( esok ).

malah pertabalan Tuanku Abdul Halim, 84, pada Rabu ini ( esok ) akan mencatat sejarah kerana telah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong buat kali kedua. Seri Paduka Baginda pertama kali dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Kelima pada 23 Julai 1970 semasa berusia 42 tahun.

Mengikut Catatan sejarah, Sistem pemilihan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan oleh para undang yang memerintah luak atau daerah di negeri itu mengikut adat Minangkabau, memberikan inspirasi kepada p Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam rangka kaedah pemilihan Yang Di-Pertuan Agong.

Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab memperkemas sistem yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid pada 1957 di mana jawatan Yang Di-Pertuan Agomg bukanlah diwarisi tetapi berdasarkan kepada sistem giliran- sesuatu yang baru dan tidak pernah diamalkan oleh mana-mana negara di dunia.

Sehubungan itu, perkara 32 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama Negara. Seri Paduka Baginda mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam persekutuan.

Di bawah pindaan 1993, Yang Di-Pertuan Agong, Sperti Raja-Raja boleh didakwa atas kapasiti peribadinya dan jika didakwa bagi sebarang kesalahan dibawah mana-mana undang-undang, Seri Paduka Baginda akan dibicarakan di Mahkamah Khas yang dibentuk Majlis Raja-Raja.

DIPILIH MAJLIS RAJA-RAJA

Perlembagaan juga termaktub bahawa Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raj-Raja secara undi sulit untuk tempoh 5 tahun. Namun begitu, Seri Paduka Baginda boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan mengutus surat perletakkan jawatan kepada Majlis Raja-Raja atau dipecat seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Setakat ini belum ada pemegang jawatan Yang Di-Petuan Agong yang dipecat atau meletak jawatan. Perlembagaan seterusnya memaktubkan bahawa sebagai Ketua Utama Negara, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa Perundangan, Pemerintahan dan kehakiman. Dalam Banyak perkara hampir semua keputusan kerajaan yang dibuat Seri Paduka Baginda adalah atas nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Namun begitu, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara bagi melaksanakan tugas-tugas berikut :-

* Melantik Perdana Menteri,
* Tidak mempersetujui pembubaran parlimen,
* Meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam perlembagaan.

Ada beberapa tugas rasmi yang hanya boleh dilakukan oleh Yang Di-Pertuan Agong termasuk memanggil, memberhenti dan membubarkan parlimen. Selain mempunyai kuasa dan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda juga berkuasa melantik Menteri-menteri lain sebagai anggota Jemaah Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, atas nasihat Perdana Menteri.

AGONG KETUA AGAMA

Selain Menjadi pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, Yang Di-Pertuan Agong  juga adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunya Raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri asal Seri Paduka Baginda.

Yang Di-Pertuan Agong berkuasa melantik hakim-hakim, mahupun mengampunkan dan menangguhkan hukuman mengenai segala kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahn yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Seri Paduka Baginda mengurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat kepada rakyat di semua peringkat.

Sumber :- Arkib BERNAMA.

Monday, April 9, 2012

Keputusan Penuh ABPBH 2011 - Jubli Perak Sempena 25 Tahun -



Assalamualaikum & Selamat Sejahtera Semua........

Apa khabar Blogger Readers sume....??? sihat tak??? semoga semunya dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.......rasanya dah lama amiey tak update blog ni, maklum la semenjak sebulan yang lepas amiey sibuk sangat dengan ugasan-tugasan akhir dimasa saat-saat akhir untuk menghabiskan sisa-sisa pembelajaran yang kini hanya tinggal beberapa minggu je lagi....rasa sedih plak nak tinggalkan kawan-kawan lepas ni sume dah bawak haluan masing-masing....ok lah amiey tak nak cite panjang-panjang pasal diri amiey so yang amiey nak cite sekarang ni adalah berkaitan dengan keputusan ABPBH 2011 semalam. so macam mane dengan semalam seronok tak tengok Anugerah Bintang Popular Berita Harian ( ABPBH 2011 )? ada sapa-sapa yang pegi tengok live dekat Arena Of Stars Genting Highland?? ke ada sapa-sapa yang tengok bola semalam tp amiey tak engat plak group mana yang lawan yang penting bukan dalam MALAYSIA lah ye...almaklumlah siaran bola semalamkan clash dengan ABPBH so amiey choose the ABPBH & tak amek pot pon bola oversea ni......maaf pada peminat bola yang berkaitan.......

Berbalik pada ABPBH semalam, tak sangka rasanya ABPBH dah masuk ulangtahun yang ke-25 dan anugerah kali ni boleh dikatakan satu majlis yang boleh dikategorikan  Sebagai Sambutan Ulangtahun Jubli Perak sempena menghargai dan meraikan keunggulan ABPBH yang telah diwujudkan sejak 25 tahun yang lalu....jadi memang ramailah artis yang telah diangkat martabat seninya dan dinobatkan di dalam ABPBH sepanjang tempoh 25 tahun ni.....berkenaan dengan perjalanan majlis semalam amiey tak nak komen apa-apalah itu pandai-pandai sendirilah nak nilai macam mana tapi bagi amiey apa yang amiey nak cakap kat sini semuanya berjalan lancar dan acara berlangsung dengan meriah sekali....

Kat sini amiey list kan keputusan penuh ABPBH yang berlangsung semalam. Keputusannya Adalah Seperti  Berikut :-


BINTANG PALING POPULAR 2011 :- AARON AZIZ 

dengan UNDIAN PENUH Sebanyak 87,669 UNDIAN




Penyanyi Lelaki Popular :- Hafiz
Penyanyi Wanita Popular :- Yuna
Artis Duo/Berkumpulan Popular :- Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Ning Baizura
Artis Baru Lelaki Popular :- Johan Asha'ri (Botak Juvana)
Artis Baru Wanita Popular :- Tasha Shila
Pelakon Filem Lelaki Popular :- Aaron Aziz
Pelakon Filem Wanita Popular :- Maya Karin
Pelakon TV Lelaki Popular :- Fizz Fairuz
Pelakon TV Wanita Popular :- Fasha Sandha
Artis Komedi Lelaki Popular :- Johan
Artis Komedi Wanita Popular :- Didie Alias
Pengacara TV Lelaki Popular :- Zizan Razak
Pengacara TV Wanita Popular :- Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular :- Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular :- Fara Fauzana
Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat :- Datuk Sheila Majid
Anugerah Seri Perak :- Datuk Siti Nurhaliza
( Buat Julung Kali Diadakan Dan Ia Seperti Yang Dijangkakan )



Tahniah diucapkan kepada semua pemenang semoga tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilimpahkan dengan rezki yang banyak...amin....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...