Kelihatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sedang Mengucup Keris Kerajaan Semasa Istiadat Pertabalan Baginda Sambil Diperhatikan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong |
KUALA LUMPUR 11 April – Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.
Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu " Perang bergema " di Balairong Seri dan para hadirin berdiri dan melaungkan " Daulat Tuanku " sebanyak tiga kali, diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.
Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu " Negaraku " dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.
Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.
Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.
Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.
Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.
Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu “ Belayar ” oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.
Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.
Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu “ Palu ”.
Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.
Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka. Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.
Sebaik sahaja selesai warkah ikrar dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat " Perang " dimainkan, diikuti laungan " Daulat Tuanku "sebanyak 3 kali oleh pemanku Datuk Paduka Maharaja Lela diikuti para hadirin didalam Balairong Seri serentak dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu " Negaraku " dimainkan.
Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi mengadap sebagai wakil kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas Pertabalan Baginda diikuti dengan Titah Diraja dari Tuanku Abdul Halim. Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd. Aziz Che Yaacob kemudiannya membacakan doa selamat.
Selepas itu Pahar berisi Al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-14 selamat disempurnakan. Seterusnya Balairong Seri bergema sekali lagi dengan tiupan nafiri dan paluan nobat yang memainkan lagu " Belayar " mengiringi Seri Paduka Baginda berdua meninggalkan istiadat dengan didahului Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan panglima-panglima yang membawa alat kebesaran diraja.
Sumber :- Utusan Malaysia & Bernama
No comments:
Post a Comment