Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, May 20, 2011

Keunikan Istiadat Menyalang ( SASTERA )


( Sumber Gambar - Utusan )

Seorang penyandang pusaka adat yang baru (kanan) menerima sebilah keris daripada Muhammad Sharip Othman sebagai tanda pelantikan. Istiadat ini merupakan teras dalam mendirikan adat bagi penyandang pusaka adat yang baru.

PEPATAH Tak lapok dek hujan, tak lekang dek paneh seringkali diungkapkan apabila membicarakan mengenai Adat Perpatih yang menjadi amalan masyarakat di Negeri Sembilan. Istiadat menyalang Datuk Lembaga dan Buapak delapan kampung Suku Biduanda Luak Rembau yang diadakan di kediaman rasmi Datuk Undang Luak Rembau di Rembau baru-baru ini menyerlahkan keunikan Adat Perpatih yang menjadi amalan turun temurun penduduk Negeri Sembilan.

Istiadat Menyalang ini adalah adat istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, sebagai tanda menjunjung kasih penyandang pusaka baru mengadap dengan penuh beradat dan istiadat.Istiadat kali kelima ini yang diadakan di kediaman rasmi Undang Luak Rembau sejak tahun 1999 menyaksikan empat orang penyandang pusaka yang baru dilantik merafak sembah kepada penyandang pusaka yang lebih tinggi yang juga sebagai pelengkap atau istiadat terakhir pelantikan mereka.

Mereka ialah penyandang Pusaka Lembaga iaitu Datuk Putih Khairol Nizam Yahya (Suku Batu Hampar Petani) dan Datuk Panglima Dagang Ruslan Nunet (Suku Seri Melenggang Minangkabau) serta Pusaka Buapak iaitu Datuk Juan Mohd Ros Mohd Yunus (Buapak Suku Biduanda Kampung Tebat) dan Datuk Samaraja Dzulkefli Ismail (Buapak Suku Biduanda Kampung Kota).

Majlis itu turut menyaksikan rombongan penyandang pusaka sukunya bersama dan anak buah mengadap dengan beradat dan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sireh, serta iringan seperti nasi besar (panco) yang berisi telur, wajik, dodol dan boko atau dulang yang berisi kuih muih. Mengikut adat kehadiran mereka dengan rombongan ini menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab dan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail. Perlantikan penyandang pusaka adat di Luak Rembau adalah amalan demokrasi yang diamalkan oleh pengamal adat sejak dahulu. Ia adalah tanggungjawab setiap ahli dalam suku tersebut sebagai hak dan kebebasan untuk memilih atau dipilih. Kekosongan sesuatu pusaka adat selalunya disebabkan kematian dan "memuntahkan" pusaka dan sebagainya. Di Luak Rembau, penyandang pusaka adat akan diganti selepas 100 hari kekosongan berlaku.

Kebulatan mengikut pepatah "Bulat air dek pembetong, bulat kata dek muafakat" akan diadakan untuk mencari "benih" dalam menentukan "perut" mengikut giliran. Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman berkata istiadat ini menjadi teras dalam mendirikan adat bagi penyandang pusaka adat yang baru.

Adat istiadat itu dizahirkan (diamalkan) daripada nenek moyang terdahulu dan sehingga kini masih dipegang teguh kepada sistem adat dan seterusnya memakmurkan institusi adat itu sendiri. "Keindahan adat kita sungguh jelas. Istiadat ini bertujuan memasyhur dan mengisytiharkan secara rasmi kepada anak buah berkaitan pusaka yang disandang Datuk Lembaga. "Kehadiran mereka dengan rombongan menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat itu," katanya pada majlis Istiadat Menyalang itu. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...