Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, February 9, 2012

Perang Dunia Kedua : Part 2 :- Tentera Jepun Menyeberang Selat Johor.....


Assalamualaikum & Selamat Sejahtera Pembaca Semua.....

Ok..hari ni amiey nak sambung balik entri tentang HIDS coz dah 2 hari amiey tak update pasal HIDS ni...jadi entri hari ini adalah sambungan pada entri sebelum ini dan berkaitan dengan peristiwa yang pernah terjadi kepada seluruh penduduk Tanah Melayu sebelum merdeka sekitar tahun 1941-1945...siapa tahu peristiwa apa yang berlaku?? jawapannya ialah perang dunia kedua ( World War II ) yang mana Persekutuan Tanah Melayu juga termasuk dalam negara yang mengalami perang dunia kedua apabila negara kita dijajah oleh Tentera Jepun ketika itu..

Pada hari ini dalam tahun 1942, tentera Jepun yang diketuai oleh General Tomoyuki Yamashita telah menyeberangi Selat Johor dalam usahanya menyerang Pulau Singapura. Sebelum menyeberangi Selat Johor, tentera udara dan pasukan meriam Jepun telah membedil sasaran-sasaran di Singapura untuk melemahkan pertahanan tentera Inggeris. 

Kekuatan Angkatan ke-5 tentera Jepun yang menyerang Semenanjung Tanah Melayu telah berjaya mengundurkan tentera Inggeris yang bekerjasama dengan pasukan tentera India dan Pasukan tentera Australia. Setelah seluruh Tanah Melayu dikuasai, tentera Jepun terus mara menuju ke Singapura. Walaupun Tambak Johor telah dimusnahkan oleh tentera Inggeris namun ia tidak memberi kesan, malah tentera Jepun berjaya menyeberangi Selat Johor. 

Tentera Jepun telah menyeberangi Selat Johor melalui bahagian yang tersempit di Selat Johor iaitu di bahagian Barat Laut Pulau Singapura. Pantai yang dipenuhi dengan paya lumpur dan berhutan memberikan kelebihan kepada tentera Jepun kerana tentera Inggeris yang bertahan tidak menduga tentera musuh akan menggunakannya.Serangan udara Jepun pula telah memusnahkan kubu-kubu Inggeris dan merosakkan sistem bekalan air. Gudang di Bukit Timah yang membekalkan makanan kepada Inggeris berjaya ditawan. Tentera Inggeris juga kekurangan peluru dan minyak petrol. Akhirnya tentera Inggeris di bawah General Percival terpaksa menyerah kalah dan Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari, 1942.

Untuk rentetan peristiwa yang sebelumnya sila klik Perang Dunia Kedua : Part 1....


Sumber : Arkib Negara Malaysia

Monday, February 6, 2012

Kemangkatan Sultan Abdul Samad Selangor


Pada hari ini dalam tahun 1898, selepas memerintah Negeri Selangor selama lebih kurang 39 tahun, Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang berusia lebih kurang 93 tahun telah mangkat pada jam 10.45 pagi di Istana Jugra. Jenazah Almarhum Sultan Selangor yang ke-IV ini telah dimakamkan di Bukit Jugra, Kuala Langat. Sultan Abdul Samad menaiki takhta kerajaan Negeri Selangor selepas kemangkatan ayah saudara dan mertuanya iaitu Sultan Muhammad, Sultan Selangor yang ke-III pada tahun 1857. 

Sebelum itu baginda adalah Tengku Panglima Raja dan berkuasa di Daerah Langat. Perlantikan baginda sebagai Sultan adalah hasil dari desakan Raja Jumaat dari Lukut yang mendapat persetujuan dari 4 orang pembesar negeri yang lain. Raja Muda Mahmud, Putera gahara almarhum Sultan Muhammad pada masa itu adalah terlalu muda usianya untuk dijadikan Sultan. Zaman pemerintahan Baginda merupakan zaman pergolakan politik Negeri Selangor di mana telah berlakunya saudara merebut takhta kerajaan dan kawasan. Baginda telah melantik menantunya Tengku Dhiauddin atau dikenali sebagai Tengku Kudin menjadi 'Wakil Mutlaknya' memerintah Negeri Selangor. Kuasa Tengku Dhiauddin ini tidak diakui oleh pembesar-pembesar negeri terutama Raja Mahadi yang menganggapnya sebagai orang dagang. Dalam masa pemerintahannya juga, negeri Selangor yang kaya dengan hasil buminya telah menarik orang-orang Cina untuk membuka lombong bijih, bersama-sama dengan orang Melayu. Perusahaan bijih ini telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar pemiagaan peperangan yang penting. 

Pada zaman itu juga, Kerajaan Inggeris telah campurtangan di dalam perkara siasah Negeri Selangor dan telah meletakkan seorang Residen British iaitu J.G. Davidson di negeri itu.Kemangkatan Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1898, telah digantikan oleh cucundanya Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa sebagai Sultan Selangor ke-V dengan gelaran Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah. Jenazah baginda telah dimakamkan selepas upacara perisytiharan Sultan Selangor yang baru.

Sumber :- Arkib Negara Malaysia

Friday, February 3, 2012

Bandar Seremban Banjir....

Assalamualaikum & Selamat Sejahtera Semua Pembaca........

Sebenarnya hari ini merupakan satu pengalaman yang amat menakjubkan dan mengejutkan bagi diri Amiey sendiri yang mana sebelum ni ia tidak pernah langsung berlaku dan ini merupakan pengalaman pertama amiey melalui peristiwa ini. Sebelum ni biasa tengok dalam TV je & benda ni selalu terjadi di tempat orang dan bukan ditempat amiey jadi hari ni ia mencatat sejarah apabila ia berlaku ditempat amiey sendiri...

Mesti Semua pembaca tertanya-tanya apakah peristiwa yang menimpa amiey hari ni kan...adakah amiey kena ragut? samun? kene rompak ke? atau semua yang sewaktu dengannya.. Apa yang membuatkan pembaca semua membuah kan persoalan adalah seperti diatas adalah tidak benar dan tidak tepat kerana ia tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan ( ingat ni jual barang ke?? ha33!!! ).Sebenarnya Amiey tak harap benda2 tu semua terjadi dan mohon dijauhkan dari diri amiey & keluarga..Ok lah, amiey straight to the point je lah mlalas nak panjang-panjangkan cerita tapi kalau korang semua tengok tajuk dekat atas tu pun korang pasti dah tau kan amiey nak cerita pasal apa kan..

Sebenanya amiey nak cerita pasal hari ini BANDAR SERAMBAN BANJIR....haaaaaaaa......mesti korang semua terkejut kan????? jangan kata korang je amiey sendiri yang tinggal dekat Seremban pun terkejut sebab  seumur hidup amiey tinggal dekat Seremban inilah 1st time amiey tengok Bandar Seremban banjir...

Ceritanya macam ni, petang tadi masa amiey sampai je dkat Terminal One Seremban dari Melaka ( study dekat sana so baliklahkan sebab cuti panjang lima hari ni tapi campus amiey cuti Mid-Sem skali ) amiey tunggulah bas dari Terminal One nak ke taman perumahan tempat amiey tinggal ( nak tau ke dekat mana??? * RAHSIA* ). Agak lama jugalah amiey tunggu bas tu sempatlah round-round dekat dalam Terminal One Shopping Complex tu dulu cuci-cuci mata tengok keadaan sekeliling yelah apa nak buatkan, amiey sampai lebih kurang jam 2.45 petang pastu amiey dapat bas pukul 4 lebih so jalan-jalanlah jawapannya kan?? ye dok ? Masa jalan-jalan dekat dalam shopping complex tu amiey dapat jenguk keluar tengok keadaan luar dah hujan tapi masa tu tak lebat sangat biasa je pastu berhenti. tak lama lepas selang beberama minit tu hujan balik tapi kali ini lebat giler sebab sampai tak nampak sekeliling dan memang tak pernah hujan macam tu sebelum ni dekat seremban dan tak sangka plak hujan tu sampai boleh mengakibatkan banjir.

Tak lama lepas tu dalam pkul 4.15 amiey dapat bas dan bas pun mula gerak meninggalkan perkarangan Terminal One, sampai je amiey dekat trafik light berhadapan dengan Padang Awam Majlis Perbandaran Seremban amiey jengah keluar tinggap bas tengok air da mula naik masa tu boleh dianggarkan dalam paras buku lali ke betis gitu la ( dalam gak a tu kan ) so amiey jangka air melimpah biasa je dari longkak berdekatan disebabkan hujan lebat rupanya sampai dekat KFC depan Wisma Punca Eamas tu air naik!!!! mengucap panjang amiey!!!!!! terkejut amiey masa tu mcam tak percaya je dengan apa yang amiey tengok. Hampir seluruh Bandar Seremban ditenggelami air mungkin juga ia berpunca dari limpahan air sungai yang berhampiran dengan Terminal One tu.

Kalau Nak Tengok Video Klik Link Kat Bawah ni :-
Video Rakaman Sewaktu Hujan Lebat Dan Banjir Dikawasan Sekitar Perpustakaan & The Store Seremban.

ni plak gambar permandangan Bandar Seremban Yang Ditenggelami Air dari arah atas :-


oklah, tu je yang amiey dapat cerita & simpulkan disini berkenaan kejadian hari ini.....sekian....

Wednesday, February 1, 2012

HIDS Part 2 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebaga Bandaraya ( Wilayah Persekutuan )




Ok..Entri kali ni adalah sambungan dari entri Amiey yang bertajuk HIDS Part 1 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebagai Bandaraya ( Wilayah Persekutuan ). tujuan amiey buat macam ni adalah kerana isi kandungan fakta tersebut terlalu panjang dan banyak so kalau amiey muatkan semua fakta dalam 1 entri nanti takut panjang menjela dan disebabkan oleh itu akan membuatkan pembaca semua bosan untuk membaca sampai habis. oleh yang demikian amiey buat lah bahagian 1 & 2 itu pan dah panjang ni kan pilak nak letak banyak-banyak kan...Amiey malas nak cakap banyak-banyak ( cakap ke bukan menaip ) nanti korang jemu plak dengar amiey bebel banyak so mari kita ikuti sambuang dari entri yang lepas...baca tau jangan tak baca :

Pada hari ini dalam tahun 1972, Kuala Lumpur dengan rasminya telah diisytiharkan taraf sebagai Bandaraya. Peristiwa pengisytiharan ini amat besar maknanya kerana inilah penganugerahan taraf Bandaraya yang pertama kali dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah ( YDPA Ke-5 ketika itu & kini SPB YDPA Ke-14 ) semenjak negara mencapai kemerdekaan. Perisytiharan ini telah dibaca oleh Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Ong Kee Hui dalam satu majlis di Bangunan Parlimen.

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah menyampaikan Surat Perisytiharan tersebut bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Dato' Ong Kee Hui. Upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini dihadiri oleh orang-orang kenamaan negara termasuk Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan Asing, Anggota-anggota Parlimen dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan yang lain. Serentak dengan itu, Pesuruhjaya Ibu Kota, Tan Sri Lokman Yusuf telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama. 

Seratus dua puluh tahun yang Ialu, Kuala Lumpur hanya merupakan satu perhentian perniagaan kecil di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang menampung dan membekal keperluan lombong-lombong bijih perusahaan timah kawasan pendalaman Negeri Selangor. Kemewahan yang dibawa serentak dengan baru ini telah menyebabkan pangkalan yang dinamakan Kuala Lumpur itu berkembang dengan pesatnya. Pada tahun 1880, Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Negeri Selangor. Apabila negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang bergabung menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, pada tahun 1895, Kuala Lumpur telah dipilih untuk dijadikan pusat pentadbiran negeri-negeri tersebut. Daripada kawasan seluas suku batu persegi yang ditadbirkan oleh Lembaga Kebersihan dahulunya, Kuala Lumpur hari ini menjadi sebuah bandaraya yang maju dan moden, pusat hubungan perdagangan dengan bandaraya-bandaraya terpenting di seluruh dunia. 

Sesungguhnya dengan penganugerahan Bandaraya Kuala Lumpur pada hari ini dalam tahun 1972, Kuala Lumpur telah menjadi penting sebagai pusat pemerintahan, diplomatik, perniagaan, kewangan, pengajian, agama rasmi dan menjadi tempat bersemayam D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Serentak dengan itu, 2 tahun kemudian dalam tahun 1974 seluruh Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnta Diisytihar pula sebagai Wilayah Persekutuan dengan gelaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ikuti rentetan peristiwa tersebut :

PENUBUHAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Pada hari ini dalam tahun 1974, Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya telah diisyhtiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dengan rasminya. Selepas pengisytiharan ini Kuala Lumpur telah dijadikan sebuah wilayah yang dikendalikan oleh Kerajaan Pusat di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan No.2) 1973. Serentak dengan itu kawasan Kuala Lumpur telah diperluaskan lagi dari 93.24 kilometer persegi kepada 243.46 kilometer persegi. 

Detik bersejarah yang gilang gemilang penuh dengan adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung tepat pada jam 10.00 pagi bila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam titah ucapannya menyifatkan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini maka terciptalah lembaran baru dalam Sejarah Malaysia sebagai hasil pengorbanan yang besar oleh Sultan Selangor untuk membolehkan Kuala Lumpur lahir sebagai lambang kemegahan bangsa dan negara. 

Yang Dipertuan Agong juga melahirkan rasa terhutang budi dan penghargaan yang tinggi kepada Sultan Selangor yang telah berkenan menyerahkan semua kuasa dan hak daulat atas ibu kota serta kawasan sekitarnya kepada Kerajaan Malaysia. Sebelum itu Baginda Sultan Selangor bertitah bahawa Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya hasrat Kerajaan Persekutuan hendak memiliki sebuah ibu negara supaya dapat ditadbirkan secara langsung. Baginda beharap seluruh rakyat Malaysia akan menganggap ibu negara ini sebagai pusat tumpuan taat setia terhadap negara. Ini diikuti pula dengan pengisytiharan Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada jam 10.21 pagi. Sesuai dengan kemegahannya sebagai ibu negara, Kuala Lumpur berkembang dengan begitu pesat sekali. 

Pada 28hb Julai 1978, Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Badan yang menggerakkan segala kerja pembangunan dan pentadbiran Wilayah Persekutuan ialah Dewan Bandaraya. Datuk Bandar adalah pentadbir dalam organisasi ini dan dibantu oleh Lembaga Penasihat yang terdiri dari Datuk Bandar sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan 10 orang ahli tidak rasmi. Dengan perluasan kawasan, Wilayah Persekutuan telah dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Setapak, Kepong, Kuala Lumpur, Damansara dan Sungai Besi. Pada hari ini dalam tahun 1984 merupakan ulang tahun ke 10 penubuhan Wilayah Persekutuan. Pembangunannya telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Bangunan-bangunan pencakar langit dibina satu demi satu, malah Bandaraya Kuala Lumpur menjadi kebanggaan bukan saja penduduk Wilayah Persekutuan tapi juga masyarakat Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

sekian sahaja catatan sejarah untuk hari ini..harap dengan memori yang tercipta ini dapat menambahkan pengetahuan para pembaca semua......

:: Selamat Hari Wilayah Kepada Seluruh Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya & Selamat Bercuti :

HIDS Part 1 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebaga Bandaraya ( Wilayah Persekutuan )


Pada tarikh hari ini telah mengukir 3 nostalgia penting bagi seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu ( Kini Malaysia ) dalam tahun yang berlainan iaitu 1948, 1972 & 1974 yang mana 2 daripada 3 peristiwa tersebut kini sedang disambut dan catatan sejarah yang menceritakan peristiwa yang berlaku pada tarikh hari ini dalam tahun seperti yang tercatat diatas adalah seperti dibawah.. mari kita ikuti rentetan peristiwa tersebut....=) 

Pada hari ini dalam tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan kuatkuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948. Persekutuan ini mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini adalah hasil dari tentangan hebat orang-orang Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn Bin Jaafar terhadap Malayan Union yang ditubuhkan pada l April 1946, tetapi terpaksa dibubarkan pada 21 Januari 1948.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi. Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.

Sebuah Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen. Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan. Syarat-syarat Kerakyatan di bawah kerajaan baru ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara;

(a) Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.

(b) Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15   
     tahun terus-menerus.

(c) Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama  
     15 tahun terus-menerus.

(d) Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat 
      istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.

(e) Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal  
     selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

(a) dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di 
     Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan

(b) telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik. Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing. Pemerintahan baru ini adalah merupakan satu langkah ke arah mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya dicapai 9 tahun kemudian, iaitu pada 31 Ogos 1957.

Serentak dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini satu majlis telah ditubuhkan dan berperanan sebagai penggubal undang-undang di Tanah Melayu dan bertindak melulus, meminda dan membatalkan undang-undang disamping mempunyai kuasa untuk meminda sebarang bahagian di dalam Perjanjian Persekutuan, dan majlis tersebut ialah  :-

MAJLIS PERUNDANGAN PERSEKUTUAN

Majlis Perundangan Persekutuan telah ditubuhkan berikutan daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 1 Februari 1948. Majlis ini telah dibentuk mengikut peruntukan yang termaktub di dalam Bahagian IV Perlembagaan tersebut. Majlis yang diberi nama Majlis Perundangan Persekutuan ini telah dianggotai oleh 76 orang termasuk Pesuruhjaya Tinggi sebagai Yang DiPertua Majlis, 11 orang ahli rasmi, 50 orang ahli tidak rasmi dan 14 orang Pegawai Tinggi Kerajaan. Seramai 50 orang ahli yang tidak rasmi ini adalah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi terdiri daripada wakil negeri-negeri dan negeri-negeri Selat dan juga wakil keturunan setiap bangsa, di antaranya 22 orang wakil Melayu, 14 orang wakil Cina, 7 orang wakil Eropah, 5 orang wakil India, 1 orang wakil Sri Langka dan 1 orang wakil Erusian.

Majlis Perundangan seperti ini mula dibentuk dalam tahun 1909, dengan dianggotai oleh 12 orang ahli, termasuklah keempat-empat orang Sultan Negeri-Negeri Bersekutu. Kemudiannya Majlis ini disusun semula pada 24 April 1927, berikutan penarikan diri oleh Sultan-Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada menjadi ahli. Penyusunan semula ini, turut mengubah keanggotaan Majlis ini menjadi 13 ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan pada hari ini dalam tahun 1948 telah membawa berbagai perubahan dari segi keahlian dan peranannya. 

Walaupun Majlis ini masih merupakan sebuah badan yang dilantik sepenuhnya, namun ia merupakan satu kemajuan berperlembagaan kerana Majlis ini mewakili seluruh negeri Persekutuan dan negeri Selat. Keduanya ahli-ahlinya yang dilantik ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan khas seperti getah, bijih timah, pertanian dan kesatuan sekerja dan ketiganya buat pertama kalinya semenjak tahun 1909 Majlis ini mengandungi ahli yang ramai. Majlis Perundangan Persekutuan ini adalah merupakan sebuah badan penggubal undang-undang di Tanah Melayu dan bertindak melulus, meminda dan membatalkan undang-undang disamping mempunyai kuasa untuk meminda sebarang bahagian di dalam Perjanjian Persekutuan. Majlis Perundangan Persekutuan yang telah ditubuhkan pada hari ini dalam tahun 1948 juga turut terlibat dalam mengawal hal ehwal kewangan. Walaupun demikian kuasa yang diberikan kepada Majlis ini adalah terhad tertakluk kepada persetujuan Majlis Raja-Raja. :: Bersambung - >  HIDS Part 2 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebagai Bandaraya ( Wilayah Persekutuan )::

Sumber : Arkib Negara Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...