Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, February 1, 2012

HIDS Part 1 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebaga Bandaraya ( Wilayah Persekutuan )


Pada tarikh hari ini telah mengukir 3 nostalgia penting bagi seluruh penduduk Persekutuan Tanah Melayu ( Kini Malaysia ) dalam tahun yang berlainan iaitu 1948, 1972 & 1974 yang mana 2 daripada 3 peristiwa tersebut kini sedang disambut dan catatan sejarah yang menceritakan peristiwa yang berlaku pada tarikh hari ini dalam tahun seperti yang tercatat diatas adalah seperti dibawah.. mari kita ikuti rentetan peristiwa tersebut....=) 

Pada hari ini dalam tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan kuatkuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948. Persekutuan ini mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan, dan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini adalah hasil dari tentangan hebat orang-orang Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn Bin Jaafar terhadap Malayan Union yang ditubuhkan pada l April 1946, tetapi terpaksa dibubarkan pada 21 Januari 1948.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi. Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.

Sebuah Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen. Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan. Syarat-syarat Kerakyatan di bawah kerajaan baru ini diperketatkan lagi melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Dengan kuatkuasa undang-undang mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara;

(a) Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.

(b) Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan selama 15   
     tahun terus-menerus.

(c) Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal selama  
     15 tahun terus-menerus.

(d) Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat 
      istiadat Melayu dalam kehidupan sehari-hari.

(e) Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal  
     selama 15 tahun berterusan.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

(a) dilahirkan di Persekutuan dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di 
     Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan

(b) telah tinggal di Persekutuan selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan, dan mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik. Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing. Pemerintahan baru ini adalah merupakan satu langkah ke arah mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya dicapai 9 tahun kemudian, iaitu pada 31 Ogos 1957.

Serentak dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini satu majlis telah ditubuhkan dan berperanan sebagai penggubal undang-undang di Tanah Melayu dan bertindak melulus, meminda dan membatalkan undang-undang disamping mempunyai kuasa untuk meminda sebarang bahagian di dalam Perjanjian Persekutuan, dan majlis tersebut ialah  :-

MAJLIS PERUNDANGAN PERSEKUTUAN

Majlis Perundangan Persekutuan telah ditubuhkan berikutan daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 1 Februari 1948. Majlis ini telah dibentuk mengikut peruntukan yang termaktub di dalam Bahagian IV Perlembagaan tersebut. Majlis yang diberi nama Majlis Perundangan Persekutuan ini telah dianggotai oleh 76 orang termasuk Pesuruhjaya Tinggi sebagai Yang DiPertua Majlis, 11 orang ahli rasmi, 50 orang ahli tidak rasmi dan 14 orang Pegawai Tinggi Kerajaan. Seramai 50 orang ahli yang tidak rasmi ini adalah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi terdiri daripada wakil negeri-negeri dan negeri-negeri Selat dan juga wakil keturunan setiap bangsa, di antaranya 22 orang wakil Melayu, 14 orang wakil Cina, 7 orang wakil Eropah, 5 orang wakil India, 1 orang wakil Sri Langka dan 1 orang wakil Erusian.

Majlis Perundangan seperti ini mula dibentuk dalam tahun 1909, dengan dianggotai oleh 12 orang ahli, termasuklah keempat-empat orang Sultan Negeri-Negeri Bersekutu. Kemudiannya Majlis ini disusun semula pada 24 April 1927, berikutan penarikan diri oleh Sultan-Sultan Perak, Selangor, Pahang dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada menjadi ahli. Penyusunan semula ini, turut mengubah keanggotaan Majlis ini menjadi 13 ahli rasmi dan 11 orang ahli tidak rasmi. Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan pada hari ini dalam tahun 1948 telah membawa berbagai perubahan dari segi keahlian dan peranannya. 

Walaupun Majlis ini masih merupakan sebuah badan yang dilantik sepenuhnya, namun ia merupakan satu kemajuan berperlembagaan kerana Majlis ini mewakili seluruh negeri Persekutuan dan negeri Selat. Keduanya ahli-ahlinya yang dilantik ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan khas seperti getah, bijih timah, pertanian dan kesatuan sekerja dan ketiganya buat pertama kalinya semenjak tahun 1909 Majlis ini mengandungi ahli yang ramai. Majlis Perundangan Persekutuan ini adalah merupakan sebuah badan penggubal undang-undang di Tanah Melayu dan bertindak melulus, meminda dan membatalkan undang-undang disamping mempunyai kuasa untuk meminda sebarang bahagian di dalam Perjanjian Persekutuan. Majlis Perundangan Persekutuan yang telah ditubuhkan pada hari ini dalam tahun 1948 juga turut terlibat dalam mengawal hal ehwal kewangan. Walaupun demikian kuasa yang diberikan kepada Majlis ini adalah terhad tertakluk kepada persetujuan Majlis Raja-Raja. :: Bersambung - >  HIDS Part 2 :- Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan Majlis Perundangan Persekutuan & Pengisytiharan Kuala Lumpur Sebagai Bandaraya ( Wilayah Persekutuan )::

Sumber : Arkib Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...