Aluan Selamat Datang

Welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, January 25, 2012

Pertabalan Dato' Kelana Petra Sebagai Undang Sungai Ujong & Sultan Perak Mengurniakan Pingat




Pada hari ini dalam tahun 1951, Dato' Kelana Petra, Mohd Kassim Dato' Mandika Hj. Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong. Istiadat pertabalan telah berlangsung di Balai Undang, Ampangan, Negeri Sembilan. Dato' Kelana Petra telah diisytiharkan sebagai Undang oleh Dato' Shahbandar pada 27 Mac 1946 menggantikan Almarhum Dato' Kelana Ma'amor Kassim. Dato' Kelana Petra dilahirkan pada 13.10.1904 di Kampung Panti, Seremban. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Panti dan meneruskan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar setelah tamat darjah 4 pada tahun 1916. Semasa di Maktab Melayu beliau bergiat cergas dalam bidang sukan terutamanya bola sepak dan tenis. 

Selepas tamat darjah 9, beliau memegang jawatan sebagai kerani di Pejabat Elektrik Seremban. Beliau seterusnya bertugas di Pejabat Tanah Seremban selama 8 tahun dan akhirnya menjawat jawatan kerani kewangan di Pejabat Besar Elektrik di Kuala Lumpur. Semasa bertugas di Seremban, beliau bergiat cergas dalam Persekutuan Persidangan Belia di sana dan pernah menjadi Setiausaha dan Bendahari dalam persekutuan tersebut. 

Tembakan meriam sebanyak 9 das menandakan bermulanya istiadat pertabalan. Seterusnya istiadat bersiram telah dimulakan oleh Dato' Batin dari Ulu Beranang dan Jenang diikuti pula oleh Dato' Mandika, Dato' Seri Maharaja Diraja dan lain-lain ahli waris. Istiadat diteruskan apabila Dato' Syahbandar mengisytiharkan pekerjaan kerajaan dan meriwayatkan riwayat hidup Undang yang baru. Dato' Laksamana dan Dato' Panglima Besar kemudiannya mengisytiharkan istiadat mengadap. Istiadat ini didahului oleh Dato' Mandika dan 25 orang Dato'-Dato' yang lain, Kadi-kadi termasuk Naib-naib Kadi, Penghulu, Buapak-buapak, dan waris-waris yang lain. Istiadat ini adalah mengikut aturannya telah ditentukan dan bacaan doa telah menamatkan istiadat.

SULTAN PERAK MENGURNIAKAN PINGAT

Pada hari ini dalam tahun 1958, Sultan Perak Paduka Seri Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah mengurniakan Pingat Baik Pekerti dan Pingat Bakti Kerajaan Perak kepada sebelas orang anggota Pasukan Keselamatan kerana perkhidmatan dan kejayaan cemerlang mereka dalam menentang pengganas-pengganas di negeri Perak. Antara mereka yang dikurniakan Pingat Kebaktian oleh Sultan Perak, di dalam upacara pengurniaan pingat yang bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar ini ialah Sarjan Nasaruddin Mohamad dari Pasukan Khas, Assistant Supritendent G.E Coster, Pegawai Special Branch, Ipoh dan Lans Korporal Deobahadur Thapa. Pejuang-pejuang yang menentang pengganas ini dikurniakan pingat sebagai mengenang peranan mereka dalam usaha menangkap Chin Voon, Pengganas Komunis yang paling di kehendaki di negeri Perak. Berikutan itu juga, atas jasa dan bakti mereka, dalam surat pengurniaan pingat ini wira-wira ini telah disifatkan sebagai ‘Bapa Pasukan Gelap Special Branch’ di Perak.

Sumber :- Arkib Negara Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...